Belajar & bermain #9

kik3

Anak 6 tahun belajar mengaji.

Lebih dua bulan saya berhenti sebentar dari mengajar ngaji. Selepas mak dan abah sudah semakin pulih, alhamdulillah, dapat meneruskan mengajar seperti biasa.

Bagi tahun 2015 ini, bertambah lagi pelajar baru. Saya ingat sudah tidak mahu lagi ambil anak mengaji baru. Tapi apabila ibunya datang sendiri ke rumah meminta, apakan daya saya untuk menolak.

Ada 4 orang anak berumur 6 tahun ini masih belum kenal lagi huruf tunggal. Tapi, mereka menghafal lagu alif ba ta.

Di sinilah ibubapa harus dapat membezakan. Tak semestinya anak cilik yg dapat menyanyikan alif ba ta hingga ya hasil pembelajaran melalui gajet (bagi tengok youtube kononnya untuk belajar) bererti anak tuan puan sudah mengenal huruf. Tidak sama sekali.

Saya mulakan dengan membaca muqaddam lama yang ada huruf tunggal. Mula mula dibacanya laju!

Tiba di barisan kedua saya meminta mereka ulang semula huruf terakhir dengan memandu bunyi makhraj yang betul. Apabila mahu membaca huruf seterusnya, mereka lost! Saya nampak mereka “menyanyi dalam hati bermula alif ” semula. Mulutnya terkumat kamit.

Bagi kes begini (zero dari rumah & sekolah), saya akan ajar mereka belajar mengenal ciri, bentuk dan cara membunyikan huruf tunggal melalui Kad Imbas Khadijah.

Kad berselerak. Tak sempat untuk susun semula. Ada lagi beberapa anak mengaji yang besar sedang menunggu giliran dalam masa yang sama.

“Baiklah! Kita main cari kad.. Cik Jah nak tengok siapa yang boleh dapat cari dulu bagi Cik Jah ok?”

Mereka mula bersemangat dengan muka ceria! Tidak seperti tadi muka agak ketat kerana tak dapat membaca dengan betul.

“Cik Jah nak huruf Alif! Huruf alif tegak macam pokok. Cari gambar pokok!”

Mereka mencari dengan cepat dan pantas. Pelajar lama dapat dulu kadnya.

“Ok. Seterusnya huruf ba macam kapal! Cari gambar kapal.”

“Macamana rupa kapal cik jah? Saya tak tahu.” Soal pelajar baru.

“Ba, melengkung kat bawah dia macam bentuk kapal. Bawah kapal ada air. Huruf ba bawah dia ada satu titik.”

Pelajar lama yang dapat lagi.

Saya lihat pelajar baru sudah mencebikkan mulut mahu menangis.

Permainan diteruskan hingga huruf Kho.

Pelajar baru masih “kalah” dengan pelajar lama. Hehe.. Matanya sudah berair lebat. Alamak!

“Alaaa… Saya tak dapat kad pun. Saya kalah..”

“Tak. Awak tak kalah. Kat rumah cik jah tak ada siapapun yang kalah. Semua pemenang. Dia menang dapat kad dulu. Awak menang sampai mengaji dulu kat rumah cik jah kan. Sarah pulak menang sebab suka datang mengaji. Betul tak sarah?”

Barulah airmatanya berhenti. Dan tersenyum!

“Ok, kita ngaji sampai huruf kho je hari ni. Esok kita sambung belajar lagi ok. Awak tolong cik jah masukkan kad ke dalam beg dia. Terima kasih..”

Bukan main seronok lagi dia! Dia mahu belajar lagi sebenarnya. Tapi, saya katakan kita belajar sikit sikit dulu.

Lagipula, anak mengaji lelaki 14 tahun itu sudah lama menunggu giliran untuk mengaji. Seorang yang sangat penyabar dan sangat rajin datang mengaji walaupun hujan dan duduk jauh.

Nota buat ibubapa.

1. Rebutlah peluang di awal usia anak untuk memperkenalkan huruf hijaiyyah. Ia adalah saham untuk kita laburkan sendiri. Bila sudah kenal huruf tunggal dan baris asas, barulah boleh dihantar ke mana mana atau mencari sesiapapun guru mengaji.

2. Belajar dalam kamus hidup anak kecil adalah melalui bermain. Siapakata anak kecil yang asyik bermain tidak belajar?

3. Menghormati perangai dan tingkahlaku anak cilik yang pelbagai. Tidak perlu marah jika ada yang tidak mampu duduk diam. Berikan masa.

(Ada seorang lagi si kembar yang terlepas tidak boleh duduk diam. Tidak memperbesarkan kekurangan dirinya. Puji ke atas usahanya yang mahu juga datang mengaji.)

4. Ajarlah sedikit sedikit. Yang paling penting, konsisten (istiqamah).

Sebelum pulang, pelajar baru bercerita tanpa diminta.

“Kenapa cik jah tak marah marah pegang rotan? Makcik ngaji saya dulu mesti dah rotan siapa yang bercakap masa mengaji!”

Cik Jah hanya mampu tersenyum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *